By Suhaizan Kayat
Kenyataan Media
Khamis 30 Jun 2011
TANAH KTMB TG PAGAR HILANG TIDAK KEMBALI
Keretapi Tanah Melayu Bhd(KTMB) mempunyai tanah pajakan dengan Kerajaan Singapura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah dari Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah(lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16). Tanah ini cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura , terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar. Perjanjian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi sahaja. Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keretapi maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut. Persoalannya mengapa perjanjian yang mengikat negara ini tidak dipinda semasa Singapura keluar daripada Malaysia?
Hari ini Khamis 30hb Jun 2011 seluruh rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di Johor sepatutnya bersedih apabila tanah KTMB yang telah dipajak selama selama 79 tahu akan diserahkan kepada pihak Singapura. Tanah ini akan hilang tidak kembali. Sebagai balasannya pihak Singapura akan menggantikannya dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor. Terdapat syarikat usahasama Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte. Ltd yang dimiliki 60% ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40% ekuiti dipegang oleh Temasek Holdings yang akan akan membangunkan tanah tersebut. Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura? Di manakah maruah rakyat dan negara Malaysia jika Syarikat M-S Pte Ltd gagal sedangkan tanah KTMB telah diserahkan kepada Singapura ?
Tanah di Marina South dan Ophir Rochor yang dibangunkan oleh M-S Ptd Ltd bakal dijual kepada pasaran setelah siap dibangunkan. Oleh itu tanah ini akan terdedah kepada pemilikan bebas. Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional. Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang. Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?
Penyerahan tanah KTMB yang berlaku hari ini menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang. Pangajaran yang paling besar adalah Kerajaan Malaysia sanggup menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura demi mengejar keuntungan material semata-mata dengan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta ini. Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini.
Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment